Jom Mengendap Cenderahati Comel

21 Februari, 2012

Epal Cinta Untuk Puteri



“Bahagiakan hidup kalau sentiasa manis macam epal ni.”
Aishah berhenti mengunyah.
“Bahagia hidup kau akan manis macam epal ni kalau hidup kau tak penuh dengan dendam.” Aishah berkata sambil memandang mata bening Puteri. Matanya masih ternampak bayang dendam.
“Aku tak kan berdendam kalau tak ada orang yang zalimi aku.” Puteri berkata tegas sambil melihat siaran TV3.
“ Kita manusia biasa tak sempurna, tak akan terlepas dari buat kesilapan. Hanya Nabi dan Rasul sahaja yang sempurna.”
Puteri terdiam. Dia telan liur. Terasa kelat.
“Nabi pun maafkan umat, inikan kita manusia biasa.” Aishah menyambung kata lagi.
“Tapi aku bukan Nabi yang ada hati mulia seperti itu. Aku manusia yang tak boleh lupa kejahatan orang kepada aku.” Segera sahaja Puteri menjawab. Pandangan berapi diberikan.
“Memang hati kita tak mulia seperti Baginda tapi tak salah kalau kita cuba contohi sifatnya. Sifat Rasulullah yang terpuji tak salah untuk kita ikuti.” Aishah berkata perlahan. Buah epal yang masih berbaki di letakkan di atas meja.
“Dendam ini hanya jadi penyakit hati kepada manusia. Buanglah perasaan tu. Kau pasti akan rasa bahagia macam makan epal ni juga.” Aishah ambil satu lagi epal didalam raga dan dihulurkan kepada Puteri.
Puteri mengeluh berat. Epal itu di biarkan tak bersambut. “Aku tak suka makan epal.”  
“ Sebab?”
“Epal buah kegeramaran lelaki tu.” Puteri jawab keras. Remote dicapai dan dimatikan terus siaran televisyen. Mood untuk menonton telah hilang.
 “Lelaki itu ada nama Puteri.” Aisah mengelengkan kepala.Perempuan ini hatinya sekeras kerikil.
“Memang. Tapi nama dia tak layak langsung untuk aku sebut.” Puteri terus bangun dari duduk. Setiap kali perihal epal dan lelaki itu dibangkitkan, hatinya pasti sakit!
+++++
 “Puteri.” Puteri tetap teruskan langkah. Malah rentak kakinya turut dilajukan.
 “Puteri.” Kali ini terasa tangannya di sambar lembut.
  “Lepaskan.” Puteri matikan langkah dan matanya merenung lelaki itu tajam.
 “Saya tak akan lepaskan selagi Puteri tak maafkan saya.” Haris terus memegang tangan Puteri. Bersusah payah dia mencari gadis ini. Tak akan dilepaskan dengan mudah kali ini.
  “Kau rasa layak ke untuk di maafkan?” Puteri bertanya dengan pandangan yang semakin menikam. Haris terdiam. Tahu salahnya memang terlalu besar.
  “Kalau kau sendiri tak dapat jawab, jangan pernah minta aku maafkan kau.” Tangannya yang masih dalam pegangan Haris ditarik kasar.
Langkah diteruskan menghampiri kereta. Tak sangka pertemuan yang Aishah katakan pagi tadi hanya untuk menambah lukanya yang masih berdarah. Sungguh tak sangka dia di pertemukan dengan lelaki durjana ini.
“Puteri kita perlu berbincang. Berikan saya peluang untuk tebus dosa saya yang lalu.” Haris menjerit dan berlari mengejar langkah Puteri.
“Dosa kau pada aku terlalu besar dan tak akan boleh ditebus langsung. Kau dah musnahkan hidup aku sampai aku hilang segalanya. Tak mungkin aku dapat maafkan kau Haris!” Puteri menjerit kuat. Marahnya sudah berada di tahap kemuncak.
 “Memang salah saya. Tapi sekarang saya dah sedar. Tolonglah maafkan saya.”  Melihat Puteri yang ingin membuka pintu kereta dia terus menyandarkan diri dipintu tersebut. Di pandang wajah gadis yang semakin berapi itu.
 “Salah kau terlalu banyak. Disebabkan kau, aku hilang maruah, aku hilang keluarga dan aku hilang diri aku sendiri. Aku dah tak boleh teruskana hidup macam biasa. Kau buat hidup aku macam sampah.” Puteri mengesat air matanya yang tiba-tiba mengalir.
   Haris mendiamkan diri dengan semua amarah Puteri kerana dia tahu salahnya memang banyak.
“Kenapa kau buat aku macam tu?” Puteri bertanya lelaki yang telah menjahanamkan dirinya. Selama ini dia sering tertanya mengapa dirinya dulu diperlaku seperti binatang.
 “Saya minta maaf. Semua ni memang salah saya. Saya rasa tercabar bila Puteri selalu buat saya macam terlalu tergila-gilakan Puteri. Setiap kali saya tegur Puteri, Puteri akan senyum seperti dipaksa sahaja dan tak pernah nak layan perlawaan saya.” Haris menyelak rambutnya kasar bagi menutup gugup. Pekung yang tersimpan di dadanya selama ini perlu di rungkai.
  “Malam itu saya tipu Aishah, saya kata awak perlu datang discussion. Saya suruh dia sampaikan berita discussion kita yang perlu di buat di dewan. Sepanjang perjalanan, saya ikut awak dari belakang. Malam itu saya terlalu ikutkan hati sampai cederakan awak untuk bawak awak masuk hotel. Masa tu saya hanya nak tunjukkan yang saya mampu miliki awak walaupun awak terlalu sombong dan bongkak terhadap saya.” Haris menarik nafas berat apabila sedu Puteri mula kedegaraan. Pasti peristiwa malam lima tahun lalu terimbau kembali.
  “Lepas malam tu, awak langsung tak nak tengok muka saya. Kalau sebelum itu senyum nipis pun awak boleh hulurkan. Tapi lepas kejadiam malam tu, pandang muka saya pun awak tak sudi. Walaupun hati saya puas tapi ia sebenarnya pedih bila reaksi yang awak beri tak sama dengan apa yang saya harapkan. Saya harap awak akan merayu-rayu minta saya bertanggungjawab tapi awak diam saja macam tak ada apa-apa yang berlaku sampailah dua bulan lepas kejadian tu. ” Haris pandang kenderaan yang lalu lalang. Hatinya juga celaru seperti lalu lintas didepannya ini.
 “Dua bulan lepas tu, aku datang pada kau. Aku kata yang aku mengandungkan zuriat yang kau cambahkan tanpa rela. Tapi kau kata itu bukan anak kau. Kau tinggalkan aku dalam hujan lebat seorang diri. Bersusah payah aku datang nak jumpa kau dengan bawa diri yang tak berdaya mengandungkan zuriat kau tapi kau buat aku macam sampah.” Puteri kesat air mata yang masih tak mahu berhenti dari tadi. Puas dikesat dan ditahan tapi air matanya tetap mengalir seperti lukanya yang tetap berdarah sehingga hari ini.
  “Balik rumah, Mama tahu pasal kandungan aku. Dia menanggis tanpa tanpa henti. Ayah pula tiba-tiba rebah sebab anak perempuan tunggal dia tak pandai menjaga diri. Ayah aku meninggal dalam keadaan marah. Mama pula terus menyalahkan aku tanpa henti sebab aku sudah menconteng arang pada mereka. Aku hilang arah. Tak ada siapa sudi kutip aku yang kotor ni. Aku menanggung beban di atas dosa orang lain” Haris meraup rambutnya kasar dengan kata wanita di hadapannya itu. Salah dia terlalu besar, menyebabkan hidup Puteri musnah.
  “Aku teruskan hidup dengan penuh penderitaan. Orang mengeji perut memboyot tanpa kehadiran seorang bapa. Mujur ada Aishah yang sudi membantu selama enam bulan kandungan aku bernyawa.” Suara Puteri semakin bergetar. Hatinya terasa mahu meletup menanggung bebanan perasaan yang terlalu berat.
“Bila aku terjatuh semasa ambil air sembahyang, hati aku bagaikan sudah terhempas berderai. Zuriat yang dikandung pergi dikala aku sudah rasa tendangannya, dikala aku sudah rasa denyut nadinya dan dikala aku sudah berani hidup sebagai ibu tunggal. Hidup aku kelam. Aku hilang maruah, keluarga dan anak sekaligus semuanya disebabkan kau Haris. Nama kau sungguh indah, pelindung. Tapi nama itu yang memusnahkan hidup aku ini.” Puteri pandang Haris yang mendiamkan diri sejak tadi. Biarlah lelaki ini tahu peritnya dia menanggung derita akibat perbuatan lelaki ini. Perbuatan syaitan lelaki ini telah menghancur lumatkan hatinya.
 “Kau rasa kau layak ke untuk dimaafkan?” Puteri tersenyum sinis dalam sendu bila lelaki itu mengelengkan kepala sebagai jawapan pertanyaannya.
   “Izinkan saya bertanggungjawab.” Haris berkata tiba-tiba.
   “Tak ada apa yang perlu ditanggungjawabkan. Ia tak dapat kembalikan nikmat yang telah hilang.” Puteri ketawa mengejek.
   Please Puteri. Saya tahu saya salah. Izinkan saya peristerikan awak.” Haris berkata yakin. Dia cuba melawan pandangan berapi Puteri. Tapi ternyata api itu terlalu marak untuk di padamkan.
   “Aku tak perlukan semua tu. Kalau lima tahun dulu kau sedar dengan kesilapankan tu mungkin aku masih boleh terima. Tapi sekarang tak  mungkin. Lagipun anak kau dah tak ada.” Puteri tolak lelaki itu kuat dan terus membuka pintu keretanya. Sememangnya masanya hari ini dibuang dengan sia-sia.
++++
Sampai sahaja di rumah wajah Aishah terus dicari. Bilik wanita itu terus dimasuki tanpa
salam.
“Kenapa kau tipu aku?” Puteri bertanya kasar.
“Aku tak tipu kau. Aku dah cakap kawan lama kita nak jumpa kau.” Aishah menjawab tenang.
“Dia bukan kawan lama aku. Dia pemusnah hidup aku.” Puteri membentak kasar.
“Aku tahu kau pernah terluka. Malah aku akui yang silap Haris cukup besar dan tak mudah untuk dimaafkan dalam sekelip mata. Tapi kalau kau masih simpan dendam tu selamanya, hidup kau akan terseksa.” Aishah menarik Puteri duduk di katilnya.
“Hidup aku dah cukup terseksa disebabkan dia. Sekarang dia datang menagih kata maaf dan tanpa segan silu mahu aku jadi isterinya. Aku bukan wanita yang boleh ditolak dan di ambil kembali sesuka hati.” Puteri berkata lemah sambil duduk di sebelah kawannya itu. Sungguh dia tak faham dengan lelaki itu. Setelah dia sudah berjaya mengharungi hidup yang penuh dengan kegelapan, mengapa lelaki itu hadir.
“Aku tahu kau wanita yang kuat Puteri, dulu masa kau balik dengan wajah yang kusut masai, dalam menanggis kau masih boleh bangun teruskan hidup, Ayah kau meninggal tapi kau tetap di sisi Mama kau, walau dicaci dengan penuh kehinaan. Kau belai anak di dalam rahim kau setiap hari walau jelas bapanya telah dah musnahkan hidup kau. Tapi sekarang hidup kau dah bertambah baik. Mama dah boleh terima kau balik, kau dah berjaya habiskan ijazah yang tertangguh dan sudah dapat kerja yang halal. Tak salah kau cuba kikis kenanganan dulu.” Aishah memaut tubuh kecil Puteri yang mendiam.
“Aku tak minta untuk kau terima dia. Tapi cuba untuk lupakan peristiwa dulu. Jangan fikirkan lagi perkara dahulu. Macam itu baru kau boleh padamkan api marah kau sedikit demi sedikit. Tak guna menyimpan dendam Puteri. Hanya memakan diri kau sendiri.”
“Aku tak boleh.” Puteri mengelengkan kepala laju. Tak mungkin untuk dia berbuat demikian.
“Aku yakin kau boleh. Kau solat, minta pada Allah beri kekuatan untuk kau lupakan kisah dulu. Insya’Allah, Dia akan makbulkan doa kau. Doa kemaafan untuk manusia. Besar pahalanya Puteri.” Aishah eratkan pelukan untuk  Puteri. Jelas muka Puteri yang penuh dengan segala kekusutan.
Malam itu, Puteri dan Aishah habiskan masa bersama di dalam bilik. Mereka bersama-sama membaca Yassin dan bersolat hajat. Semua doa yang di pohon adalah untuk kebahagian Puteri. Kemaafan untuk lelaki yang bernama Haris.
Air matanya mengalir deras sepanjang bacaan Yassin untuk arwah ayah dan anaknya. Segala peristiwa lima tahun dahulu terimbau dihadapan matanya. Sungguh dia rindukan mereka berdua.
“Aku nak sambung dengan solat istikarah. Nak minta ketenangan dan petunjuk Allah.” Puteri berkata lembut saat Aishah mengajaknya tidur.
“Buat dengan hati yang ikhlas. Yakinlah Allah sentiasa ada untuk kita. Aku masuk tidur dulu.” Aishah memeluk Puteri dan bangun dari duduknya. Dia pasti Puteri pasti akan dapat hapuskan dendammya dulu.
 Puteri berteleku. Benar kata Aishah, bila dia memohon kepada Allah, hatinya kini mulai tenang. Air mata yang mengalir sepanjang bacaan Yassin tadi seolah membawa bersama luka yang ada. Hatinya seolah bersih dari sebarang luka. Benar, kemaafan adalah hadiah yang terindah. Walaupun parut dendam itu masih ada, tapi dia sudah mecuba untuk memaafkan. Puteri bangun dan dibetulkan kedudukakn telekung di tubuhnya. Ini solat sunatnya yang terakhir untuk malam ini.   
+++++
Daripada jauh sudah terlihat kelibat manusia yang duduk bersila di hadapan pusara arwah anaknya. Dia kenal tubuh itu. Bapa kepada anaknya. Diperhatikan sahaja lelaki itu dari jauh. Bahu lelaki itu terhinjut-hinjut dengan bacaan Yassin yang tersekat-sekat. Habis bacaan Yassin lelaki itu membatukan diri lama.
“Kalau Ayah berfikir panjang waktu dulu, pasti kita semua dah hidup bahagia. Ada orang beritahu, anak Ayah ni lelaki. Pasti wajah anak Ayah kacak macam Ayah juga.” Puteri tersenyum duka mendengar keluhan lelaki itu.
“Ayah sememangnya lelaki paling bodoh yang abaikan kurniaan tuhan. Maafkan Ayah sayang. Ayah terlalu berdosa kepada Ibu dan kamu.” Air mata Haris tumpah lagi.
“Kami dah maafkan awak.”
Haris terus sahaja mencari suara Puteri yang menjengah ke telinganya. Wanita itu berdiri tegak di belakangnya. Raut wajahnya tenang.
“Tak guna simpan dendam. Hanya membuatkan hati kita resah dan bercelaru. Saya dah maafkan awak.” Puteri mengambil tempat di hadapan lelaki itu. Nisan arwah anaknya di usap lembut. Anak tenanglah engkau disana.
+++++
“Abang. Banyak ruang kan. Kenapa sibuk nak baring dekat sini juga?” Puteri mengomel tapi tanganya tidak pula menolak kepala yang singgah diribanya.
“ Saja nak manja-manja dengan Sayang. Nak?” Haris tunjukkan epal yang sudah digigit sedikit. Isterinya itu mengeleng.
 Tak sangka lamarannya semasa dipusara arwah anaknya dulu diterima. Tak tahu apa yang menyebabkan wanita itu bersetuju tapi dialah lelaki yang paling bahagia ketika itu. Mereka bernikah dalam suasana yang sederhana sahaja di atas permintaan isterinya itu. Walau pada mulanya Mama Puteri menerimanya dengan layanan yang kurang mesra dan penuh dengan kata sindiran tapi dia tahu yang Mama Puteri mahu dia sedar dengan kesilapan lalu.
  “Kenapa Abang suka makan epal?” Puteri megusap lembut anak rambut suaminya. Sudah sedikit panjang.
   “Epal ni banyak manfaatnya. Boleh dijadikan diet seimbang dalam kehidupan.” Haris mengigit lagi epal di tangannya.
    “Contohnya?” Puteri bertanya.
  “Epal merah ni buahan serat yang mengandungi banyak air. Epal boleh menstabilkan tekanan darah, kurangkan kolestrol dalam darah dan membantu menghalang karies gigi.” Di akhir kata Haris menayangkan gigi putih kepada isterinya. Tergelak kecil Puteri dengan aksi manja suaminya. Ada sahaja lawaknya.
    “Gaya abang bercakap dah macam doktor. Tak ada rupa macam pegawai bank.” Haris ketawa dengan ulasan isterinya.
     “Abang tahu ini semua, sebab sayang.” Haris memandang isterinya dengan penuh kasih.
      “ Saya? Kenapa pula? Tak ada kaitan lah.” Puteri mengangkat kening.
     “ Sebab, dulu Abang tengok Sayang sentiasa berkepit dengan buku. Puteri lebih suka baca buku dari layan Abang. Dari situ minat untuk membaca pun timbul.” Puteri terdiam. Tak sangka begitu sekali suaminya memerhatikan dia .
    “Sebenarnya ada satu kisah epal yang sama dengan Sayang. Bila abang baca kisah ini, baru abang tahu Sayanglah epal abang.” Haris mengambil jejari Puteri dan dikucupnya lembut.
   “Puteri ni epal Abang?” Puteri ketawa kecil tapi Haris menganggukkan kepala dengan soalan isterinya.
“Epal yang macam mana?” Dia bertanya lagi kepada suaminya.
“Wanita itu ibarat sebiji epal. Epal yang tidak baik teramat mudah untuk dipetik dan dinikmati. Malah kadang kala epal itu boleh dikutip di atas tanah sahaja. Tapi epal yang baik dan berkualiti, tak mampu dipetik dan disentuh dengan sesuka hati kerana ia berada di puncak yang tinggi. Epal baik itu sebenarnya ditakdirkan Allah berada di sana khusus untuk lelaki yang layak dan berani sahaja. Mereka yang benar-benar berani dan beriman sahaja yang akan berjaya memetik epal di puncak. Maka yakinlah seandainya ia tidak dipetik di dunia ini, mugkin jodoh menantinya di syurga nanti.” Haris pandang Puteri yang mendiam. Tanganya pantas menyeka air mata dari terus membahasi pipi mulus isterinya.
“Lepas Abang baca ayat ini, baru Abang tersedar. Abanglah lelaki yang paling pengecut kerana mengambil epal terbaik dalam hidup ini dengan cara yang paling keji. Abang jadi faham kenapa Sayang tak pernah nak melayan Abang dengan mesra. Sayang buat macam tu sebab mahu jaga kemuliaan diri sebagai seorang wanita. Sayang tak mahu bercakap dengan lelaki sebab mahu bermesra dengan suami sahaja. Puteri tak bertepuk tampar dengan lelaki lain sebab mahu bermanja dengan suami sahaja.” Mendengar sedu isterinya Haris terus bangun dari baringnya dan dipeluk isterinya erat.
“Syukur, Abang masih berpeluang dapat epal cinta kesayangan Abang ini. Kali ini Abang tak akan persiakan Sayang. Abang nak jadi Imam dan Ayah yang terbaik untuk keluarga kita.” Puteri hanya mengangguk dalam pelukan suaminya. Sungguh dia hilang kata-kata dengan kata jujur suaminya hari ini.
Ternyata keputusannya menerima lelaki ini dalam hidupnya tidak silap. Masih dia ingat doa dalam solat istikarah yang dibuat dua tahun lepas. Dia mahukan ketenangan dalam hidp dan melupakan kisah lalu. Dia juga sempat berdoa semoga dapat berjumpa dengan orang yang boleh menerima dirinya seadanya.
Hatinya benar-benar tersentuh melihat Haris yang menanggis keinsafan. Lantas sahaja dia mengangguk perlahan pabila lelaki itu sekali lagi menyuntingnya sebagai seorang isteri. Tapi yang pasti, dia terima lelaki itu bukan kerana cinta. Kuasa Tuhan sungguh tiada tangdingnya, daripada benci kini suaminya ini antara orang yang dicintai. Syukur Alhamdulillah.
“Terima kasih sudi maafkan dan terima Abang dalam hidup ini.” Haris merungkaikan pelukan. Dipandang wajah isterinya yang sudah tersenyum.
“Kasih diterima.” Puteri menjawab ikhlas.
“Nah. Epal cinta untuk Puteri.” Haris hulurkan epal yang enak dimakannya tadi. Isterinya mengambil epal itu dan digigit sedikit di atas kesan gigitan suaminya. Kemudian bibirnya singgah ke pipi kanan suaminya. Tersenyum senang lelaki itu dengan hadiah yang diterima.
Sunnah Rasulullah, suami isteri elok berkongsi makanan bagi mengeratkan hubungan yang terjalin. Semoga hubungannya ini akan berada di landasan yang di redhai Allah. Kandungan yang sudah berusia lima bulan di usapnya lembut. Semoga bayi ini akan menjadi muslimat bertaqwa yang akan membanggakan dirinya dan Haris.

3 ulasan:

♥ afiqah ♥ berkata...

best! :)

Kim Razel berkata...

Thanks... Tak sangka ada orang yang suka cerita kelam kabut ni... :)

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Tahniah untuk sebuah cerpen yang menarik.

Terima kasih sudi mengambil bahagian dalam peraduan ini. (^_^)